Sunday, February 26, 2012

Ke Mana Arah Kiblat ? (2)



Ke mana arah kiblat..ini artikel ‘sequence’ dari artikel Kiblat : Ke Mana Arahnya. Berdasarkan rating dalam blog yang saya perolehi, artikel ini adalah paling tinggi pembacanya. Jadi saya memilih untuk menulis artikel berkaitan dengan arah kiblat ini lagi (.. macam filem pulak. ) Mungkin juga kerana arah kiblat adalah satu isu yang sangat dekat dengan umat Islam, samada dia seorang yang meminati ilmu falak atau sekadar ingin ambik tahu namun bila menyentuh soal arah kiblat, ia menyentuh soal ibadat solat yang merupakan ibadah ‘tiang seri’ bagi Islam.

Bagaimana mahu menentukan arah kiblat.

Telah saya sebutkan sebelum ini bahawa :
 “Seseorang tidak dapat menetapkan arah kiblat sebelum mengetahui di mana dia berada, berbanding dengan kedudukan makkah. Contohnya jika dia berada di Malaysia bermakna dia berada di sebelah Timur Makkah, maka kiblatnya menghadap ke sebelah Barat.”

Oleh kerana itu amat penting, kita perlu membuat sedikit ‘homework’ bagi memastikan kedudukan lokasi tempat yang kita berada berbanding kedudukan kaabah. Ini terutama setiap kali kita mahu bermusafir. Bukan sekadar arah kiblat tetapi juga jadual waktu solat. Kita tidak boleh memberikan alasan untuk mengadap suka-suka hati ke arah mana saja dengan alasan ‘dharurat’. Ini kerana jika kita tidak mengambil berat dalam hal ini, maka dikategorikan sebagai cuai.


Syeikh Tahir Jalaluddin menyatakan dalam Natijatul Umur :
“  Dan sesungguhnya jadi fardhu ain mempelajari dalil-dalil Kiblat atas orang yang berkehendak belayar pada pelayaran yang seumpama itu dan jika tidak maka haram atasnya belayar, dan tidaklah harus baginya menqasar sembahyang kerana ia derhaka dengan pelayarannya itu bagaimana yang dinyatakan dia oleh al-Allamah Ibn Hajar al-Haitami di dalam Hasyiah al-Idhoh.”

Secara umumnya jika menggunakan kompas arah kiblat di Malaysia dalam lingkungan 290-292 darjah. (Sila Rujuk artikel Kiblat : Ke Mana Arahnya) bagi perinciannya pula anda boleh merujuk kepada beberapa laman web seperti :

a. http://www.e-solat.gov.my/
d. http://www.qiblalocator.com/

Berikut pula adalah azimuth Bandar utama di Malaysia , Brunei dan Singapura:
Kota Kinabalu ( 290 ),W.P Labuan (290 ), Bdr. Seri Begawan (290) Kangar  (291), Alor Setar (291), Butterworth (291), Ipoh (291), Kota Bahru (291),K. Terengganu (291),Kuala Lumpur (292), Shah Alam (292), Putrajaya (292), Seremban (292), Melaka (292), Johor Bahru (292), Kuantan (292), Kuching (292), Singapura (293)

Maka saya ulangi di sini bahawa, kompas adalah salah peralatan yang mesti dimiliki oleh setiap umat Islam. Tidak kira samada kompas sebenar ke, kompas digital ke, atau perisian kompas di dalam ‘handphone’ atau komputer, apa yang penting .. kerjasama!! Err..silap pula..apa yang penting kita tahu mengendalikannya. Sila bertanya dengan sahabat-sahabat atau mereka yang tahu menggunakan kompas, cara dan kaedah untuk menggunakan kompas tersebut. Janganlah bila hendak solat, baru terkial-kial mengeluarkan kompas, kemudian berbincang sesama sendiri bagaimana cara nak menggunakannya.

Di pasaran ada sebuah jam, model casio yang mempunyai kemudahan kompas. Ia juga menunjukkan tarikh masihi yang boleh ditukar ke tarikh hijri. Ia juga boleh menunjukkan waktu solat. Alhamdulillah, saya telah memiliki 2 buah jam model ini, yang kedua-duanya di beli di Makkah dengan harga linkungan RM 200.00. Saya tidak pasti berapa harganya di Malaysia, mungkin sesiapa yang ada maklumat boleh respon. Ia secara asasnya perlu di’set’kan koordinat atau lokasi, sebelum boleh digunakan. 

Pengalaman saya menggunakan jam ini, arah kiblat dan waktu solat yang dipaparkan adalah agak tepat. Secara anggarannya atau bagi aplikasi solat secara bersendiran atau jamaah di lokasi yang tiada petunjuk arah kiblat, jam ini sangat baik. Kadang-kadang saya sengaja semak arah kiblat di rumah atau lokasi yang selain masjid untuk menilai kembali ketepatan arah kiblat yang ditunjukkan dan keputusannya agak baik. Mengapa agak baik dan tidak sangat baik. Ini perlu kita akui, bahawa penggunaan kompas terhad dan dipengaruhi oleh daya tarikan magnet, terutama di dalam bangunan. Jika ada saudara-mara dan sahabat-handai hendak ke Makkah, bolehlah kirim..

Apa pun, pengetahuan mengenai kaedah mencari arah kiblat sebenarnya satu perkara yang sangat menarik. Ia sebenarnya mempunyai kaedah yang sangat mudah bagi penggunaan masyarakat awam. Bagaimanapun bagi mereka yang terdiri dari ‘ahli-ahli falak’ pengetahuan dan keupayaan mengukur arah kiblat mempunyai satu ‘standard’ yang agak kompleks kerana ia melibatkan kerja pengiraan, pengukuran dan nilai fleksibiliti dalam fiqh.

Selamat mencari arah kiblat...wassalam.

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget